Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Melaka Berwibawa

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, saya berpeluang mencoret sepatah dua kata di dalam laman iSPEKS Negeri Melaka.

Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sistem penyampaian awamnya dalam memenuhi dan menepati hasrat dan kehendak pelanggan yang pelbagai dan kompleks masa kini.

Bermulanya dari tahun 2013, Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka telah memberi tumpuan dalam melaksanakan Tranformasi Dasar Perakaunan Negara seiring dengan hasrat dan matlamat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Melalui Program Tranformasi Negara yang diumumkan oleh Y.A.B. bekas Perdana Menteri,  Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, sistem perakaunan Negara bakal berubah sepenuhnya daripada perakaunan tunai kepada perakaunan akruan menjelang tahun 2015 untuk Kerajaan Persekutuan manakala 2016 bagi Kerajaan Negeri. Perubahan signifikan ini merupakan cabaran utama yang harus dihadapi oleh seluruh kakitangan dengan mempertingkatkan ilmu dan memperkasakan jati diri dalam memastikan tranformasi yang direncanakan tercapai.

Laman sesawang iSPEKS ini diperkenalkan khusus kepada kakitangan kerajaan negeri atas tujuan untuk memberikan informasi tepat dan terkini berhubung perkembangan, pengetahuan, jadual latihan serta maklumat terkini terutama dalam bidang perakaunan dan kewangan dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian awam yang baik dan mampan. Faedah pelaksanaan Perakaunan Akruan yang menjurus kepada pengurusan fiskal yang lebih cekap dan berkesan dari segi akauntabiliti, pengukuran kesan polisi yang lebih baik, kecekapan dan keberkesanan organisasi.

Saya bagi pihak Jawatankuasa Pelaksanaan Perakaunan Akruan Peringkat Kerajaan Negeri Melaka merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pengunjung yang sudi melayari laman sesawang rasmi iSPEKS. Diharap dengan terhasilnya laman sesawang ini, para pengunjung dapat memperoleh maklumat-maklumat yang tepat berkaitan mengenai perakaunan akruan serta bersama-sama menjayakannya menjelang tahun 2019.

Insya Allah.

Pegawai Kewangan Negeri Melaka.


back to top